Labels

About this blog

Labels

Saturday, 27 October 2012

UniMAP Sasar Kedudukan 10 Terbaik SUKIPT 2012

24 Oktober 2012. KANGAR - Kontinjen Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang bakal menyertai Kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2012 mulai 28 Oktober ini mensasarkan kedudukan 10 pasukan terbaik dari 101 pasukan yang mengambil bahagian.
Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Dato’ Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, kontinjen UniMAP yang disertai oleh 180 atlit, pegawai dan pengurus pasukan bersedia untuk berjuang berhabis-habisan bagi memastikan sasaran itu tercapai.
“Ini merupakan kejohanan terbesar yang melibatkan penyertaan menyeluruh dari semua IPT yang bernaung di bawah KPT seperti KOlej Komuniti, Politeknik dan IPT Swasta, justeru kita telah membuat persediaan dan strategi yang cukup rapi dalam usaha menempatkan diri antara 10 kelompok pasukan terbaik.
“Sasaran kita pastinya dalam acara olahraga dan sukan tenis yang mana UniMAP menjadi pilihan KPT sebagai Pusat Sukan Tumpuan sebelum ini. UniMAP mensasarkan 13 pingat emas menerusi kedua-dua acara ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Amanat Terakhir dan Penyerahan bendera Kontinjen UniMAP ke SUKIPT 2012 di Dewan Terbuka Kolej Kediaman Wang Ulu di sini semalam. UniMAP bakal menyertai 9 acara iaitu olahraga, tenis, sepak takraw (lelaki dan wanita), ragbi 7 sebelah, badminton, bola tampar pantai, taekwando dan tenpin boling.
Dr. Kamarudin memberitahu, UniMAP mengharapkan kesemua lapan acara yang disertai ini mampu menghasilkan sekurang-kurangnya 17 pingat emas untuk memastikan sasaran 10 kedudukan terbaik dapat dicapai.
Selain itu, ujar beliau, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebelum ini telah mengumumkan bahawa atlit yang berjaya memenangi pingat emas berpeluang ditawarkan biasiswa KPT, justeru beliau menyeru para atlit yang mewakili UniMAP untuk berusaha merebut peluang yang telah disediakan oleh KPT itu.
Selain itu, beliau turut mengharapkan para atlet yang membawa cabaran UniMAP dapat melakukan yang terbaik agar SUKIPT pada tahun ini bakal melahirkan atlet-atlet UniMAP yang berpotensi ditonjolkan ke peringkat antarabangsa.
“Inilah semangat yang perlu dipupuk, iaitu bukan sekadar bertanding atas prestasi selaku wakil universiti semata-mata, tetapi paling penting bersaing bagi melayakkan diri dalam pasukan kebangsaan dan akan membawa cabaran lebih besar di peringkat serantau dan antarabangsa seperti Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik,” katanya.
SUKIPT 2012 anjuran KPT akan berlangsung mulai 28 Oktober sehingga 11 November ini di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang. Penganjuran SUKIPT 2012 menawarkan 165 pingat emas daripada 15 acara yang dipertandingkan.

No comments: