24 OKTOBER 2012. KULIM, - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melalui Sekretariat Promosi UniMAP melancarkan Program Rakan UniMAP dalam usaha mendekatkan lagi para pelajar khususnya dari luar bandar kepada bidang sains dan teknologi.
Pada majlis pelancaran itu di Anjung UniMAP di sini hari ini, hampir 3,000 pelajar yang sedang belajar dalam tingkatan tiga hingga lima dari 27 sekolah menengah dalam daerah Kulim/Bandar Baharu menyertai program tersebut yang member tumpuan terhadap mata pelajaran sains di sekolah.
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, Rakan UniMAP diperkenalkan khusus untuk membolehkan UniMAP menjalin kerjasama yang lebih erat dengan sekolah di sekitar daerah Kulim dan Bandar Baharu.
"Pada masa sama program ini bertujuan memperkenalkan UniMAP sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi yang berteraskan kejuruteraan selain menawarkan program pengajian perniagaan serta kejuruteraan teknologi," katanya selepas mewakili Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Kamaruddin Hussin melancarkan program tersebut di Anjung UniMAP di sini hari ini.
Katanya melalui cara ini, UniMAP berharap program itu dapat mencetuskan minat untuk pelajar menjadikan bidang kejuruteraan sebagai program pilihan apabila melanjutkan pelajaran kelak dan UniMAP akan menjadi universiti pilihan mereka.



No comments:
Post a Comment